اَلسَلامُ عَلَيْكُم وَرَحْمَةُ اَللهِ وَبَرَكاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ
Segala puji dan syukur dipanjatkan kehadrat الله سبحان و تعالىٰ dengan izin-Nya jua saya berpeluang untuk kembali membuat kemaskini pada blog ini setelah hampir empat tahun tidak membuat sebarang postings. Tidak lain tidak bukan ini adalah atas kesibukan mentaati komitmen pada keluarga dan tugas di pejabat yang menghadkan ruang masa kepada saya untuk membuat coretan dan melampirkan gambar sebagai kongsian. Namun sepanjang tempoh itu saya lebih banyak tertumpu dan melayan addiction pada instagram dan facebook yang ternyata lebih mudah dan tidak terlalu banyak mengerah buah fikiran bagi saya membuat nukilan panjang lebar sedang hanya perlu menyertakan caption pada setiap gambar yang dimuat naik.
Baiklah, sebenarnya sepanjang tempoh empat tahun itu saya telah banyak bermusafir samada atas urusan rasmi mahupun bercuti bersama keluarga. Tidaklah ada yang luar biasa sepanjang masa itu akan tetapi sekadar rutin biasa bagi saya sebagai penyiar yang mematuhi aturan assignment dan sebagai seorang ketua keluarga yang mengharapkan isteri dan anak-anak saya gembira bersama khususnya ketika bercuti.
Namun ada satu perjalanan yang saya anggap sebagai sangat istimewa dan luar biasa yang telah saya lalui dan sempurnakan iaitu menjadi tetamu الله dan baginda صلى الله عليه وسلم . Allahuakbar.
Tidak pernah terlintas pada fikiran saya untuk menjejakkan kaki ke tanah suci dalam masa terdekat. Ini adalah atas beberapa faktor; faktor kewangan dan faktor urusan keluarga. Namun aturan Allah lebih sempurna berbanding perancangan hamba yang kerdil ini. Peluang dan kesempatan ini hadir pada waktu yang sangat tidak terduga.
Kesempatan ini sangat besar nilainya. Selain dua faktor tadi, beberapa faktor lain seperti urusan visa yang agak ketat dan pembahagian waktu bagi menghadiri kursus praktikal kadang kala sangat menguji kesabaran dan kesanggupan kita.
Selain daripada itu, untuk sampai ke tanah suci ini juga bergantung pada situasi dan keadaan bahkan adakalanya agak ajaib bagi sesetengah orang. Mengapa tidaknya, ada orang yang berkemampuan dari segi material dan wang ringgit akan tetapi belum sekali berhaji atau berumrah sedang ramai pula yang hidup sederhana tapi sudah ke tanah suci lebih dari sekali. Tidak ajaib kah itu?
Secara peribadi saya berpendapat ini bergantung pada niat dan diiringi dengan izin Allah jua. Usaha yang berterusan serta doa kehadrat yang maha esa, tidak pun segera pasti waktunya menyusul juga untuk kita menghambakan jiwa dan raga di tanah suci. Allahuakbar.
Sebenarnya tidak banyak yang ingin saya perkatakan akan tetapi sekadar curahan ringkas bagi hamba yang kali pertama ke tanah suci dan agar menjadi dorongan kepada saya sendiri dan pembaca semuanya untuk memperkuatkan azam dan tekad untuk menjadi tetamu الله عز وجل dan tetamu baginda صلى الله عليه وسلم.
Turut dipaparkan adalah gambar-gambar kenangan ketika saya berada di Jeddah. Saya telah menyertai Jemaah Umrah Rombongan Ke-8 (R8) At Taqwa Travel Tours Sdn Bhd Insya Allah semoga saya akan diberi kelapangan untuk seterusnya memuat naik coretan dan gambar kenangan ketika berada di Madinah Al-Munawarah dan Mekah Al-Mukaramah.
Sejurus mendarat di King Abdul Aziz International Airport, Jeddah. Suhu agak dingin pada ketika ini dan kebanyakan para jemaah sudah bersiap lebih awal dengan berpakaian sedikit tebal.
Bersama salah seorang rakan jemaah Pengiran Haji Idris bin Pengiran Haji Jaidin
Hotel Holiday Inn As-Salaam Jeddah, tempat penginapan ketika berada di Jeddah.
Lorong-lorong kecil di Jeddah
Usai mendaftar masuk hotel, kami menjamu selera dengan Chicken Mandy dan Mutton Soup. Paling kanan ialah Ustaz Rushdi, rakan yang banyak membantu urusan kami sepanjang berada di Jeddah, Madinah dan Mekah.
Meninjau sekitar kawasan berdekatan hotel penginapan kami
Menghirup udara pagi dan dingin di Kota Al-Balaad, Jeddah.
Perniagaan baru saja bermula, tawar-menawar harga barangan adalah menjadi kelaziman. Bazaar seumpama ini adalah pemandangan biasa di Al-Balaad, Jeddah.
Kota Jeddah
Rakan jemaah Haji Wardy bin Haji Masri dan isteri, jemaah yang sering membantu dan berkerjasama baik dengan rakan jemaah yang lain. Terima kasih.
Bergambar kenangan bersama rakan-rakan saya Ustaz Haji Abdul Kahar bin Haji Ali (No.2 dari kiri) dan Ustaz Abdussalam bin Haji Ali (No.3 dari kiri) bersama sebahagian rakan jemaah Rombongan Ke-8 At-Taqwa Travel Tours Sdn Bhd usai kami menikmati sarapan pagi.
Sembahyang Jamak Takdim Zohor dan Asar sebelum bertolak ke Madinah Al-Munawarah
Gambar terakhir sebelum meninggalkan Jeddah
No comments:
Post a Comment