Hadis adalah begitu sinonim dengan Sunnah. Menurut istilah
(terminologi) ahli-ahli Hadis, Sunnah adalah sabda, perkerjaan, ketetapan,
sifat (watak budi atau jasmani); atau tingkah laku Nabi Muhammad Shallallahu
‘alaihi Wasallam, baik
sebelum menjadi Nabi mahupun sesudahnya. Dengan erti ini, menurut majoriti
ulama, Sunnah sinonim dengan Hadis.
Menurut ahli-ahli usul fiqih,
Sunnah adalah sabda Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi Wasallam yang bukan berasal dari
al-Quran, pekerjaan atau ketetapannya.
Ahli-ahli fiqih (fuqaha) pula berpendapat, Sunnah adalah
hal-hal yang berasal dari Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi Wasallam baik ucapan mahupun pekerjaan,
akan tetapi hal itu tidak wajib dilakukan.
Bagi umat Islam, al-Hadis adalah merupakan rujukan kedua
selepas kitab suci al-Quran. Hadis adalah merupakan perkara yang disabdakan
atau dilakukan atau diperakui oleh baginda Rasul Shallallahu ‘alaihi Wasallam.
Pengajaran yang terdapat dari dua sumber yang mulia ini
adalah merupakan perundangan dan panduan yang menjadi pegangan umat Islam.
Dalam sekian banyak riwayat hadis Rasulullah Shallallahu
‘alaihi Wasallam, tidak
kurang pernyataan mengenai kesihatan, yang berhubung langsung dengan
kebersihan.
Baginda Rasul Shallallahu
‘alaihi Wasallam begitu
dikenali sebagai pengamal cara hidup sihat, bukan hanya dalam aspek kerohanian bahkan
juga termasuk aspek fizikal.
Cara hidup baginda yang
bersederhana dan berdisiplin banyak memberi manfaat dalam kesihatan baginda
bagi terus sihat dan cergas dalam melaksanakan peranan sebagai nabi dan rasul.
Pada zaman moden ini banyak kajian saintifik yang dikaitkan
dengan amalan hidup beragama ternyata efektif dalam penjagaan kesihatan kini.
Apatah lagi pada ketika dunia berada pada era pandemik, terbukti apa yang telah
dipesankan lebih dulu oleh Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi Wasallam mengelak dan merawat ternyata
ada benarnya. Dalam sebuah hadis baginda telah bersabda:
إِذَا سَمِعْتُمْ بِهِ بِأَرْضٍ فَلاَ تَقْدَمُوا عَلَيْهِ
وَإِذَا وَقَعَ بِأَرْضٍ وَأَنْتُمْ بِهَا فَلاَ تَخْرُجُوا فِرَارًا مِنْهُ
Maksudnya: “Apabila kamu mendengarnya (wabak) di sesuatu tempat,
maka janganlah kamu pergi ke situ. Dan apabila ia berlaku di tempat kamu, maka
janganlah kamu keluar lari daripadanya.” (Hadis riwayat Imam Muslim).
Dalam ajaran agama Islam banyak menekankan setiap
pekerjaan khusunya yang terkait dengan ibadat lazim dimulakan dengan bersuci
atau membersihkan diri. Sering ditekankan kaedah bersuci yang betul, kekerapan
bersugi, pengambilan air wudhu yang sempurna dan larangan makan atau minum pada
barang yang tertentu telah mengiyakan pesan-pesan Nabi Shallallahu
‘alaihi Wasallam sebelum
ini.
Pada pendidikan peringkat awal lagi terutamanya dalam
ilmu fiqh, kita akan menemui bab berkaitan Taharah, iaitu bersuci atau kesucian.
Dalam bab ini, Islam mensyariatkan wuduk sebelum menunaikan solat lima waktu
dan sebahagian ibadat lain. Begitu juga disyariatkan mandi dan bersugi untuk
kebersihan diri.
Ini bermakna kebersihan dan kesucian diri ialah asas
penting ke arah kesihatan jasmani. Malah, ia antara sifat utama orang bertaqwa
dan layak mendapat mahabbah, iaitu kasih sayang Allah Subhanahu wa Ta’ala.
Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam surah
al-Maidah ayat 6:
يَا اَيُّهَا الَّذِيْنَ آمَنُوْا اِذَا قُمْتُمْ اِلَى
الصَّلاَةِ فَاغْسِلُوْا وُجُوْهَكمْ وَاَيْدِيَكُمْ اِلَى الْمَرَافِقِ
وَامْسَحُوْا بِرُؤُوْسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ اِلَى الْكَعْبَيْنِ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu
akan mendirikan solat maka basuhlah muka kamu dan tangan-tangan kamu hingga
siku-siku kamu dan sapulah kepala kamu serta (basuhlah) kaki-kaki kamu sehingga
ke kedua mata kaki”.
Begitu
juga Rasulullah Shallallahu ‘alaihi
Wasallam telah bersabda:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ قَالَ
رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم " لاَ يَقْبَلُ اللَّهُ صَلاَةَ
أَحَدِكُمْ إِذَا أَحْدَثَ حَتَّى يَتَوَضَّأَ
Maksudnya: “Abu
Hurairah Radiallahuanhu telah
meriwayatkan dari Nabi Shallallahu ‘alaihi Wasallam, baginda bersabda: Allah tidak
menerima solat seseorang diantara kalian jika berhadas hingga ia berwudhu.”
(Riwayat Imam al-Bukhari)
Agama Islam menunjukkan keprihatinannya dalam hal
kesihatan dengan memberikan panduan ke arah penjagaan kesihatan berterusan.
Antaranya sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam:
الفطرة خمس، أو خمس من الفطرة: الختان، والاستحداد،
وتقليم الأظفار، ونتف الإبط، وقص الشارب
Maksudnya: “Lima
amalan ini daripada fitrah, iaitu mencukur bulu di bahagian kemaluan,
berkhatan, menggunting misai, mencabut bulu ketiak dan mengerat kuku.”
(Riwayat
Imam al-Bukhari dan Imam Muslim)
Begitu juga apabila menghadap hidangan makanan, Islam
menganjurkan kita membersihkan tangan terlebih dahulu. Sebilangan manusia sering alpa kerana kesihatan yang memberikan
nilai dalam hidupnya hingga tidak menghargai mahal nikmat itu, sekali gus tidak
sedar ia sebahagian detik kehidupannya.